Create your own banner at mybannermaker.com!

PROJEK KAWASAN BERBUKIT

Kementerian WP Pantau Projek Kawasan Berbukit

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Kementerian Wilayah Persekutuan sentiasa memantau projek-projek di Kuala Lumpur, di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melibatkan kawasan berbukit, kata Menterinya Datuk Seri Zulhasnan Rafique.

"Saya juga akan meminta sekretariat kabinet untuk mengatur taklimat khas daripada Kementerian Sumber Asli, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan DBKL dalam mesyuarat jemaah menteri, Jumaat ini," katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengkaji dan menangguhkan projek-projek di kawasan berbukit berikutan insiden tanah runtuh di Bukit Antarabangsa Sabtu.

Kejadian tanah runtuh pada pukul 4 pagi itu mengorbankan empat nyawa dan meranapkan 14 buah banglo di dua taman perumahan iaitu Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama di Bukit Antarabangsa.

Antara isu-isu yang bakal dibincangkan adalah isu-isu teknikal mengenai definisi projek-projek berbukit, perundangan dan kewangan, katanya.

Zulhasnan berkata kementeriannya juga telah menubuhkan Jawatankuasa Alam Sekitar Sensitif tiga tahun lepas, untuk membuat keputusan dan memantau projek-projek sensitif dan berbukit sekitar kawasan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Projek-projek sensitif yang dipantau ialah projek Bukit Gasing dan pembangunan 21 unit banglo di Medan Damansara, katanya.

-- BERNAMA

(Sumber :- http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=377004)

0 comments: