Create your own banner at mybannermaker.com!

PEMBANGUNAN SEKITAR LABUAN

Labuan Akan Terima Paip Pembetungan Baru 2009

LABUAN, 2 Dis (Bernama) -- Penduduk di bandar Labuan kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan Persekutuan akan menukarkan sebahagian daripada paip-paip pembetungan bawah tanah yang berusia lebih dari 30 tahun dengan paip pembetungan baru.

Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) Amin Lin Abdullah, kerajaan akan membelanjakan lebih daripada RM20 juta bagi tujuan penukaran dan menaik taraf paip pembetungan bawah tanah yang panjangnya sekitar 12.3 km di bandar ini. Projek ini akan bermula tahun depan dan dijangka siap pada 2011.

"Pihak kami yakin projek ini akan memberikan kebaikan kepada kesemua pengguna di Labuan dan mengurangkan masalah operasi seperti kesumbatan dan paip rosak yang dialami sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara kawasan yang terlibat dengan proses penukaran dan menaik taraf paip-paip pembetungan baru ialah Jalan Tun Mustapha, Labuan Town Centre, Jalan Tanjung Purun dan Manmahon Warehouse, di sini.

Sementara itu, IWK dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam menganjurkan seminar perkhidmatan pembetungan yang dihadiri mereka yang terbabit secara langsung dalam industri pembetungan di Labuan seperti kontraktor, operator persendirian dan juga persatuan-persatuan komersial.

Seminar tersebut bertujuan memberi penjelasan berhubung Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, pelesenan dan penguatkuasaan yang dijalankan oleh SPAN.

"Pihak IWK sentiasa menyokong hasrat kerajaan untuk memartabatkan standard industri pembetungan negara khususnya di Labuan. Justeru seminar ini dapat memberi peluang kepada mereka yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung untuk mendapatkan penerangan dari pihak kawal selia, SPAN, tentang undang-undang dan peraturan-peraturan yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan," kata Amin Lin.

Beliau berkata, pihak IWK berharap seminar seumpama ini dapat membangkitkan rasa kesedaran dan tanggungjawab semua pihak ke arah usaha untuk memelihara alam sekitar dari dicemari dengan sisa kumbahan tidak terawat.

-- BERNAMA

(Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=375684)

0 comments: