Create your own banner at mybannermaker.com!

BERITA JKKK DI SANA-SINI...

31 MAC 2009

ALOR GAJAH 28 Mac - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang terdapat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia diminta agar lebih peka terhadap sebarang masalah yang dihadapi oleh penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Norpipah Abdol berkata, sikap memilih kelompok golongan penduduk tertentu tidak sepatutnya timbul biarpun ada di kalangan mereka berbeza fahaman politik atau budaya.

Menurutnya, sikap itu jika terus diamalkan akan menyebabkan rakyat yang memerlukan perhatian tercicir daripada perhatian kerajaan, sekali gus memberi kesan terhadap imej kerajaan negeri itu sendiri.

''Tugas JKKK bukan sahaja ambil tahu mengenai parit dan longkang tetapi mereka perlu turun ke padang melihat apa masalah penduduk dan laporkan kepada kerajaan bagi membolehkan bantuan disalurkan segera kepada penduduk yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke rumah seorang warga emas, R. Sallen, 72, yang mengidap sakit tua di rumahnya di Taman Sri Sutera, di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau meminta JKKK dalam DUN Rembia mengambil pendekatan untuk berubah dan kembali menyemak sama ada mereka telah melaksanakan tugas mereka seperti yang diharapkan oleh kerajaan atau sebaliknya.

Katanya, teguran itu dibuat bagi membolehkan mereka berfikiran lebih positif dan bertindak secara lebih aktif demi memastikan nasib rakyat di peringkat kampung terus terbela.

''Semua JKKK lebih peka dan serius dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka kerana itu telah menjadi sebahagian daripada tugas serta tanggungjawab mereka," ujarnya.

Sementara itu mengenai lawatan beliau, katanya, aduan mengenai kesempitan hidup yang dialami oleh keluarga Sallen dimaklumkan oleh Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Cawangan Taman Sri Sutera, Vijeyan.

Katanya, beliau memberi jaminan akan menyalurkan aduan mengenai masalah warga emas terbabit kepada agensi kerajaan berkaitan terutama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

''Pada lawatan ini juga, pegawai JKM turut hadir untuk mengambil borang permohonan bantuan dari Sallen bagi tindakan kelulusan segera," katanya.

Menurutnya, keluarga Sallen dilihat menghadapi kehidupan yang sukar kerana kos perbelanjaan perubatan warga emas tersebut agak tinggi selain terpaksa menampung kos hidup yang tinggi.

Ujarnya, warga emas tersebut merupakan pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan menerima pencen RM750 sebulan.

(Sumber :- http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0329&pub=utusan_malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm&arc=hive)

0 comments: